Tuesday, November 04, 2008

Renungan.

Beberapa hari yang lepas, saya bermalam di rumah abang saudara saya. Beliau bertugas sebagai salah seorang guru agama bagi tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di Negara Brunei Darussalam. Pada malam itu, beberapa orang penuntutnya telah datang ke rumah abang saya. Untuk pengetahuan umum, abang saya dan para penuntutnya sangat rapat dan mereka juga selalu berkunjung ke rumah abang saya. Malah mereka mengenali saya dan sebahagian dari mereka berusia lebih tua dari saya sendiri.

Pada malam itu, kami bersembang tentang pelajaran yang mereka ingin ambil jika sekiranya mereka lulus keperingkat seterusnya iaitu tingkatan enam. Mereka mengatakan bahawa mereka tidak tahu mata pelajaran apa yang akan mereka pilih. Lalu, saya mengesyorkan supaya mereka mengambil Bahasa Melayu dan Syariah, atau Usuluddin kerana bagi saya, ilmu itu sangat berguna di dunia dan akhirat. Saya amat terkilan dengan jawapan mereka.

“dui lai, apa ada syariah sama BM (bahasa melayu)?”
“awueh, nda membari-bari.. nda ko makan mun ko blajar atuu. Nada bguna tu.”
“nada standard tu blajar bahasa melayu..”
“nda jua ada kraja yang beguna subject atu. Untuk apa blajar?”
“bari hawar saja ko ani. Anikan kami pandai, ko suruh blajar bahasa melayu, syariah, usuluddin? Tantu ku milih science subjects tu eh..”
“awu, utk orang nda pandai saja tu. Untuk yang kaluk passed ah.”


Masya-Allah.. Saya hanya menggelengkan kepala mendengar caci-maki mereka terhadap mata pelajaran yang paling saya cintai itu.

Saya teringat akan soalan peperiksaan Bahasa Melayu kertas satu tahun ini iaitu “sejauh mana kemampuan Bahasa Melayu itu menjadi bahasa global dan bahasa Ilmu?”

Pada pendapat anda, sejauh mana? Pada pendapat saya, Bahasa Melayu tidak akan dapat menjadi bahasa global mahupun bahasa ilmu sampai bila-bila.

Kenapa? Anda lihat sendiri bukan? Anak melayu sendiri mengatakan bahawa Bahasa Melayu itu tidak berguna. Di manakah silap kita? Kenapa kita mengagungkan bahasa lain, bukan bahasa ibunda kita? Di mana semangat kita yang berteriak mendabik dada, “Brunei, Negara Melayu Islam Beraja!”? mengapa kita perlu bermati-matian mempelajari bahasa lain dan menginjak bahasa kita sendiri? Bukankah brunei itu mengutamakan Bahasa melayu? Kenapa masih ada lagi tunas bangsa yang bangga mengatakan mereka hebat berbahasa Inggeris? Apa kurangnya Melayu? Kenapa kita berasa mundur jika mempelajari bahasa melayu? Bahasa itu kan budaya bangsa. Apa yang kurang membanggakan jika kita berbahasa Melayu?

Kenapa kita termakan hasutan orang luar, bahawa kita tidak akan maju jika ketiadaan Bahasa asing? Di mana salahnya? Adakah kerana ibubapa yang moden, berlumba-lumba mengajar anak mereka bertutur bahasa Inggeris sedari kecil? Atau adakah silapnya terletak di sekolah-sekolah yang menitikberatkan kemahiran berbahasa asing?

Entahlah. Jika hendak mahir berbahasa asing sekalipun, kenapa kita tidak menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa kedua kita sedangkan bahasa itu adalah bahasa Nabi Muhammad, bahasa Syurga, bahasa Al-Quran? Apakah kelak kita akan ditanya mengikut bahasa yang kita banggakan itu? “Who Is Your God?” kita akan ditanya menggunakan bahasa Arab, bukan? Akan wujudkah lagi pernyataan Tokoh Melayu Hang Tuah bahawa Melayu Tidak Akan Hilang DiTelan Zaman, sedangkan sekarang, orang Melayu sudah berlumba-lumba menjadi orang Barat, membanggakan budaya Barat dan melupakan tradisi keTimuran?

Syariah dan Usuluddin, kenapa mata pelajaran ini tidak dipandang berat oleh sesetengah masyarakat kita? Apakah negeri kita tidak akan membangun jika kita mempelajarinya? Apa kurangnya ilmu Syariah dan Usuluddin, berbanding ilmu alam, ilmu hisab, ilmu kimia? Apa kerugian kita jika mendalami ilmu ini? Kenapa ada orang Islam yang begitu tega mengatakan ilmu Syariah dan Usuluddin ini tidak berguna? Bukankah hidup kita berpandukan ajaran agama Islam? Salahkah jika kita menguasai ilmu ini? Kenapa kita harus memilih mata pelajaran lain?


Adakah di sana nanti, kita akan ditanyakan tentang formula-formula ilmu hisab? Adakah kita akan ditanya tentang arah kedudukan kiblat yang kita sembah? Adakah kita akan ditanya apa jenis tanah tempat kita berkumpul semasa di Padang Mahsyar? Berapakah keluasan Padang tersebut? Adakah kita akan ditanya berapa kelajuan kita menyeberangi Titian Siratul Mustaqim? Saya tahu, kita diseru supaya belajar ilmu untuk didunia dan akhirat, tapi, perlukah kita mendakwa ilmu Syariah dan Usuluddin itu tidak berguna? Tidakkah itu terlalu melampau? Begitu hinakah ketiga mata pelajaran ini sehingga kita memandang dengan sebelah mata sahaja?

Jawaplah orang yang punya fikiran. Benarkah dakwaan mereka, Melayu tidak penting? Ilmu keagamaan tidak perlu dititikberatkan? Sesungguhnya, saya juga telah mati akal.


(680 pp)




mintil~~~~~~ mun ku sabut bah nama kamu, nyaman. famous tarus ne.. huahua. tapi aku nda jahat. hahaha. paksa lanja saya ni ah.......

0 comments:

Post a Comment